Sakit kepala orang muda
Oleh Murshid Eunos
Penulis sendiri, MURSHID EUNOS bertahun-tahun mengalami sakit kepala
serius ini. Migrain sememangnya pembunuh secara senyap yang akhirnya
meninggalkan kesan mendalam. Umumnya, golongan muda paling parah
berdepan konflik sakit jenis ini.
Tiba-tiba kepala berdenyut dan sakit hingga memaksa seseorang itu
baring serta merehatkan diri. Telan panadol pun belum tentu hilang rasa
sakit itu. Bukan mual, jauh sekali pening biasa, tapi itulah migrain
yang hari ini banyak menyerang anak muda.
Kebiasaannya kita lebih mengambil masalah ini remeh dengan tidak
langsung merujuk kepada pihak doktor atau mengambil ubat yang sepatutnya
sebaliknya hanya membiarkan sakit itu hilang sendiri selepas rehat
beberapa jam atau tidur sebentar.
Kenapa menyerang anak muda? Ini
kerana faktor pemakanan tidak terkawal dan pengambilan kopi secara
konsisten yang hari ini menjadi trend anak muda. Itu penyebab utamanya.
Apa itu migrain? Ia berasal daripada perkataan Greek ‘hemikrania’
yang bermaksud sebelah tengkorak atau di kenali sebagai ‘vescular
headache’. Ia adalah sejenis penyakit kepala yang kronik dan pesakit
biasanya tidak mampu menjalankan tugas seharian, malah sesetengahnya ada
yang tidak makan, minum dan hanya terbaring lemah.
Apabila berlakunya migrain, pesakit biasanya mengalami sakit
kepala yang teruk. Menurut kajian, golongan wanita kebanyakannya lebih
kerap menghidapi penyakit migrain terutama ketika haid.
Sakit
kepala biasa dihidapi oleh semua orang tidak kira kanak-kanak mahupun
golongan biasa. Namun, jika ia sakit yang berpanjangan dan keadaannya
serius hingga mendatangkan kesan berpanjangan, ia dikira sebagai
migrain.
Migrain berlaku kerana darah tidak sampai ke otak akibat
tersekat dan menyebabkan sakit kepala yang teramat sangat. Selain
pening akibat sakit kepala, migrain juga memberi rasa tidak selesa
kepada perut dan tekak rasa loya sehingga menyebabkan pesakit muntah.
Perasaan
yang sering digambarkan oleh pesakit ketika menghadapi migrain adalah
seperti dihempap batu dan kepala berdenyut-denyut seperti dicucuk-cucuk.
Serangan migrain ini tidak mengira tempat dan waktu. Kebiasaannya
pesakit akan mengalami sakit kepala di sebelah bahagian saja.
Puncanya
secara keseluruhan adalah disebabkan kesan daripada alahan seseorang,
silau akibat lampu yang terang, bunyi terlalu kuat, bau wangi terlampau
kuat, tekanan fizikal atau emosi, waktu tidur tidak teratur, merokok
atau terdedah kepada asap rokok, menahan lapar atau mengambil makanan
seperti coklat, keju, kopi, limau, tomato dan jeruk atau makanan
diperap.
Tanda lain migrain termasuk kesakitan kepala amat sangat
dan berdenyut, rasa sakit pada sebelah kepala dan merebak ke bahagian
hidung serta sakit mata, tekak berasa loya, muntah dan kadangkala tangan
serta kaki akan menjadi sejuk.
Malah, tanda lain berlakunya
migrain termasuk sensitif bunyi dan suara, persekitaran terasa
bergerak-gerak seperti menaiki bot dan mabuk laut, kemerahan-merahan
pada kulit, pada keliling mata ataupun dahi ataupun badan berpeluh.
Cara mengelaknyaGolongan
remaja terutamanya, kaedah menyelesaikan masalah ini adalah sangat
penting selain merujuk kepada pakar. Cuba mengawal tekanan dan emosi dan
elakkan daripada persekitaran yang berbau busuk, bunyi bising dan asap
rokok kerana ia boleh mengganggu emosi penghidap migrain.
Jika
perut kamu kosong, cepat dapatkan makanan untuk alas perut dan dapatkan
waktu tidur yang lebih teratur. Jangan masih berada di kedai mamak pada
jam 2 pagi hingga ke azan Subuh kerana itulah antara punca berlakunya
migrain.
Kita golongan remaja gemar melengahkan waktu makan dan
lebih berat untuk mengambil makanan jenis segera untuk mengalas perut.
Itu juga antara penyebab yang membawa kamu untuk mengalami penyakit
jenis migrain ini. Justeru jangan lagi menjadikan sikap ini sebagai satu
tabiat.
Elakkan daripada makan makanan yang mengandungi
‘thyramine’ seperti coklat serta makanan tenusu seperti keju dan susu.
Elakkan juga daripada mengambil makanan yang mengandungi ‘monosodium
glutamate’ (MSG) serta bahan yang mempunyai bahan pengawet.
Kentang
goreng yang dibeli dari restoran makanan segera selalunya mengandungi
bahan pengawet jenis ini dengan kadar tinggi. Elakkan dan jauhkan
walaupun ada kalanya teringin.
Paling penting, hindari minum
minuman yang mengandungi kafein berlebihan seperti kopi, nescafe atau
alkohol. Jangan ikut trend untuk lepak di kafe kopi ataupun mengambil
minuman keras setiap kali kamu mengunjungi pusat hiburan. Berbahaya dan
sangat serius kesannya.
Rawatan segeraRawatan
menghilangkan penyakit migrain di bahagikan kepada dua kaedah iaitu
rawatan serangan yang mana pesakit dinasihatkan berehat di dalam bilik
gelap dan sunyi. Mereka akan diberi ubat tahan sakit dan radang bukan
steroid (NSAID).
Sekiranya masih berterusan, doktor akan memberi
ubat terkini iaitu ‘sumatriptan’ sama ada melalui suntikan ataupun di
telan. Kira-kira 80 peratus pesakit menunjukkan yang sering muntah,
mereka diberikan ubat ‘ergotamine’ yang perlu dimakan sama ada di telan,
dimasukkan ke bawah lidah ataupun melalui suntikan.
Keduanya, pencegahan menerusi beberapa ubat-ubatan yang dibekalkan oleh doktor untuk mencegah migrain.
Bagaimanapun
petua paling mudah untuk mengelakkan penyakit ini adalah dengan
mengambil setin atau sebotol kecil 100 plus, tuang dalam gelas tapi
hanya separuh gelas, kemudian tambah air masak atau air mineral dalam
gelas itu tadi. Maknanya mesti nisbah 1:1, seimbang dan sama sukatan.
Kemudian
baca bismillah, niat untuk disembuhkan dan minumlah. Disarankan untuk
cuba tidur lepas mengamalkannya. Kalau di pejabat atau tempat awam lain
pun masih boleh dilakukan mengikut kesesuaian waktu dan tempat.
Tekanan
terjadi disebabkan kekusutan perkara yang berlegar-legar di kotak
fikiran. Minda anda seolah-olah terkunci dek bebanan yang ditanggung.
Penyelesaian terbaik bagi mengelak migrain adalah dengan melakukan
aktiviti yang boleh merehatkan minda seperti mendengar muzik, membuat
rawatan rambut di salun mahupun mengerjakan hobi kegemaran kamu.
Bagi
sesetengah pendapat, bersukan mampu mencegah migrain. Lakukan aktiviti
sukan yang tidak terlalu berat seperti senaman aerobik atau berjoging
secara konsisten. Hanya menaiki tangga pejabat juga boleh dikategorikan
sebagai senaman ringan yang membantu mengatasi kehadiran migrain.
Kurang
mendapat tidur secukupnya mahupun terlebih waktu tidur boleh
menyebabkan sakit kepala. Sebaiknya, nikmatilah waktu tidur yang cukup
bagi orang dewasa iaitu 6 hingga 8 jam sehari. Pola tidur yang teratur
berupaya mengatasi serangan migrain. Cuba untuk tidur dan bangun pada
waktu yang sama setiap hari.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/03
Copy dr Hmetro,